/* remove this */ Blogger Widgets /* remove this */

Tuesday, 5 August 2014

...Ibu, Ummi, Mak, Mama & Mummy...




Waktu ini, orang lain sibuk tentang hari bapa tapi saya sebaliknya. Hari ini saya ingin menulis tentang ibu, mama, ummi, mak dan mummy.

Saya baru saja menyelongkar laptop kesayangan saya ini. Melihat kembali video-vedio nasyid yang ada, akhirnya saya membuka video klip Maher Zain (Number One For Me). Di akhir lagu itu ada satu lirik yang dia sebut, ‘now I will try to love you like you love me’ membuatkan hati saya tiba-tiba jadi sebak.

Saya tidak rasa saya sudah menyayangi mama saya sepeti mana dia sayang saya. Hmmm… bila difikirkan, direnungkan, banyaknya salah saya pada mama saya. Banyaknya dosa saya pada mama saya. Tapi untuk meminta maaf, liat sekali rasanya. Bukan apa, adakalanya saya malu.

Inilah saya. Anak yang tidak beberapa baik tetapi sekarang saya sedang cuba untuk mengubahnya. Masa yang begitu lapang yang saya peroleh sekarang saya manfaatkan sebaik-baiknya untuk menyenangkan hati mama saya.

Sekarang saya sedang berjinak-jinak masuk ke dapur, kupas bawang, goreng ikan, masak sayur, buat kerabu. Semuanya mama yang ajar. Adakalanya saya ke dapur hanya untuk menjenguk kerana ada cerita yang menanti di televisyen. Hehe.. Tapi saya padamkan saja niat saya untuk menonton televisyen apabila mama meminta tolong kerana menyangka saya memang ke dapur untuk membantunya memasak seperti selalu.

Tidak mengapa. Cerita di televisyen itu, 4 5 tahun akan datang pun mungkin akan diulang tayang lagi. Tapi mama saya, saya sendiri pun tidak tahu sampai bila saya mampu luangkan masa bersamanya. Ajal maut kan di tangan Tuhan? Selagi saya mampu cari redha Allah melalui mama saya, saya akan cuba.

Mama saya tidak ada sesiapa sebagai penemannya di rumah. Ayah memanglah ada tapi bila perlu memenuhi tuntutan kerja, rumah ditinggalkan jua. Saya tahu mama pelukan teman, kawan. Jadi, saya rasa saya perlu jadi kawan dia. Saya perlu temankan dia selalu supaya dia tidak merasa sunyi.

Walaupun saya lebih suka bercerita itu dan ini pada ayah saya, tapi biarlah saya pinjamkan telinga saya ini untuk mama ceritakan itu dan ini pula pada saya. Mungkin esok saya sudah tidak dapat mendengar suaranya. Siapa tahu?

Saya mahu bahagiakan mama saya kerana selama ini saya sudah terlalu sering melukakan hatinya. Saya mahu bahagiakan mama saya kerana saya tahu redhanya dia, redha juga Allah saya. Saya terlalu mahu bahagiakan dia kerana bagaimana saya mampu bahagiakan orang lain sekiranya yang melahirkan saya pun tidak mampu berbahagia dengan saya?

Saya mahu jadi yang terbaik untuk mama saya, untuk keluarga saya dan pastinya untuk Allah saya. Cukuplah selama ini saya sering melakukan dosa dalam keadaan sedar dan tidak. Sekarang saya mahu jadi wanita solehah, wanita dambaan syurrrrgaaaaa.. ^^

Pernah sekali dalam tafakur saya saya dapati mama tidak pernah menghampakan setiap permintaan yang keluar dari bibir saya lagi-lagi tentng makan. Mama memang suka memasak, jadi bila saya tersebut saja “bestnya kalau ada…….” Pasti esoknya mama akan cari atau  masakkan untuk saya. Terkadang pernah juga terfikir, “aku ni anak manja ke?’” Ish!

Entahlah, mungkin saya bukanlah anak manja tetapi memang fitrah seorang ibu yang sentiasa mahu berikan yang terbaik untuk anak-anaknya, jadi yang terbaik untuk kelurganya. Tetapi kita sebagai anak-anak selalu bermasam muka, bertikam lidah dengan mereka kerana mengharapkan kesempurnaan dari mereka. Kita perlu sedar mereka juga manusia biasa seperti kita, ada cacat cela dan kurangnya.

Sedangkan kita sebagai anak belum tentu sudah jadi yang terbaik untuk mereka inikan pula kita mahu mengharapkan kesempurnaan dari mereka. Penjagaan yang baik dari dalam perut, sewaktu masih bayi, sewaktu jatuh bangunnya kita untuk mula bertatih sehinggalah siapa kita sekarang adakah itu masih belum cukup untuk kita membahagiakan mereka?

Teringat pula saya tentang sesuatu perkara. Begini ceritanya. Di rumah saya ini, selalu ada kucing yang akan datang meminta makanan sewaktu saya makan tengah hari. Agak menyusahkan untuk saya berhenti makan, gaulkan nasi dengan ikan untuk mereka, basuh tangan dan menyambung kembali suapan saya. Jika mahu dibiarkan sehingga saya menghabiskan dahulu makanan saya kemudian baru memberi mereka makan, kesian pula saya mendengar “miow miow” dari kucing-kuccing itu.

Jadi satu hari tu, sebelum saya makan tengah hari, saya terlebih dahulu memberi kucing-kucing itu makan. Saya gaulkan nasi dengan isi ikan dan saya letakkan satu kepala ikan. Waktu itu, hanya seekor yang ada (si ibu). Dia makan sambil memanggil anak-anaknya untuk makan. Lama juga saya memerhatikan kucing itu, tetapi anaknya tetap juga tidak memunculkan diri. Saya tinggalkan dia untuk mengisi perut saya.

Sedang asyik saya menyuap nasi, saya terdengar lagi si ibu tadi mengiaw tetapi kali ini lain sedikit bunyinya. Saya jenguk keluar, saya lihat si ibu sedang berjalan ke arah rumah sebelah sembil menggigit kepala ikan di mulutnya. Tiba-tiba anaknya memunculkan diri dari halaman rumah sebelah. Terukir sekuntum senyuman di bibir saya.

Sedangkan kucing yang tidak dikurniakan akal juga menyayangi anaknya, inikan pula manusia. Jadi bagaimana dengan ibu yang sanggup membuang anaknya? Allah berfirman,
“Dan sungguh akan kami isi neraka jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka memiliki telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lengah.” 
(Al-A’raf : 179)

Saya menulis bukan kerana saya sudah menjadi anak yang solehah, bukan kerana saya sudah sepenuhnya menjadi anak yang baik, bukan kerana saya sudah membahagiakan mama dan ayah saya dengan sempurna tetapi saya menulis kerana saya sedar saya terlalu banyak dosanya terhadap mereka dan saya tidak mahu sesiapa yang membaca tidak menyedari tentang apa yang baru saya sedari ini.

Saya sedang cuba membaiki kelemahan saya itu. Saya mahu jadi seorang anak yang baik. Jika mahu jadi baik, jangan jadi baik sorang-sorang, kan? Kita cari redha ibu bapa, kita dapat redha Allah. Bila Allah dah redha, ramai-ramai kita masuk syurgaaaa!!! :D


p/s : Jom kita niat supaya semua yang kita lakukan adalah untuk mendapatkan redha Allah… ;)

Sabtu, 14 Jun 2014
~1:51 tengah hari~


No comments:

Post a Comment